tEnAngKaN dIri

Saturday, March 17, 2012

cabaran menjadi seorang jururawat muslimah.


salam suma.. ni saya copy paste dari 1 blog dan saya amat tertarik dgn tajuknya iaitu "CABARAN MENJADI SEORANG JURURAWAT MUSLIMAH.. :)




Bismillahirahmanirahim

Dengan penuh rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, saya diberi peluang untuk menulis sekali lagi. Coretan saya ini saya tujukan buat seorang adik istimewa yang saya rasa punya potensi besar untuk menjadi srikandi agama. Melihat kesungguhannya kepada pengislahan dan amal islami menyebabkan saya seolah olah melihat namanya mekar seperi Khaulah binti al Azwar Al kindi. Srikandi misteri di zaman Rasulullah SAW. Untukmu adikku Khaulah Al Adawiyah, semoga tulisan ini bermanfaat sesama kita, kerana sudah tentu kita ingin ALLAH melihat kita dengan pandangan kasih sayangNYA.

Mesej di Mukabuku A.K.A Facebook

assalam akq..asif ganggu..sye ade bace blog akq..akq nurse kan??sy pun bakal pelatih nursing ...hm sy tkut la akq..sy tkut kalau xdpat handle..tkut pressure bile msuk nursing ni cause sy dpat twaran nursing kkm..mak ayh suruh masuk..jdi sy pun bhenti blajar di matrikulasi n tnggu kemasukan nursing 3.01.12 ni...macam mane akq bt baju nursing tu??sbb yg macm kite tahu bju nrse tu sume sendat2?? mcam mane akq handle pressure ea?sbb sy ade tnye kkaq2 nursing..dye ckap tnsion...so sy tkut..lagipun sy kne blajar nursing di phang..kt sane saye xde sedare o shabat..sy nk taw mcam mane pglaman akq handle pesakit...ksbaran etc..sbb sy rase sy perlukan semangat dri muslimah yg jdi nurse(sbb sincerely sy xtfikir pun nk jdi nurse n cite2 sy lain benar dari nurse) sy bca blog akq n alhamdulillah..bgi sy akq alim n baik..bukn sng saye nk jumpe nurse camni..jadi sy ambek pluang ni utk tnye akq..harap akq xlokek utk kongsi pnglaman n nsihat..insyaAllah..moga Allah berkati hdup akq :)

Khaulah AL Adawiyah.

Inilah jawapanku untukmu...

Niat

Adikku, setiap permulaan pekerjaan atau perbuatan yang kita lakukan, biarlah segalanya kerana ALLAH. Maka, sebelum memasuki alam pembelajaran bidang kejururawatan, ikhlaskan hati semata mata kerana ALLAH SWT.

Dalam kitab karangannya yang bernama Matan Arbain, Imam Nawawi meletakkan hadis berkaitan niat sebagai yang pertama iaitu

'Dari Amirul Mukminin Umar Al Khatab R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:- Bahawasanya amalan amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada ALLAH dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'

Sebelum memulakan langkah pertama, sematkan di dalam diri bahawa pemilihan bidang ini semata mata kerana ALLAH, dan galakan kedua orang tua sebagai asbabnya. Bersolat istikharah dahulu untuk mendapat keyakinan dari ALLAH bahawa bidang ini yang bersesuaian dengan masa depan adik dan yang terbaik untuk akhirat dan agamamu. InsyaALLAH, jika kita meletakkan ALLAH sebagai yang paling utama, segala urusan kita akan dipermudahkan dunia dan akhirat.

Adikku,

Ingin kakak kongsikan di sini, dengan sedikit pengalaman kakak yang hanya berusia setahun jagung ini berkenaan cabaran untuk menjadi jururawat muslimah. InsyaALLAH, sama sama kita nilai dan ambil iktibar. Malah, kakak juga mengharapkan agar coretan ini bisa menjadi panduan buat semua jururawat dan bakal jururawat muslimah.


Cabaran 1: Uniform Jururawat

Ini adalah cabaran yang paling hebat dalam bidang kejururawatan di Malaysia apatahlagi untuk seorang jururawat Muslimah. Jujurnya adikku, kakak sendiri mengakui bahawa dulunya kakak bukanlah seperti yang adik gambarkan serta fikirkan. Kakak punya masa silam yang kelam dan jauh dari mengenal Tuhan serta agamaNYA. Alhamdulillah, kakak yang sedang menulis sekarang adalah insan yang ALLAH sudah sentuh hatinya untuk berubah. Kakak sedang masih kuat bermujahadah untuk mengikis karat karat jahiliyah yang masih berbaki dalam jiwa kakak. Kakak tidak pernah ingin mnyembunyikan masa silam kakak kerana bukan untuk membuka keaiban tetapi kakak ingin berkongsi manisnya saat hidayah menyapa hati. Sesungguhnya kasih sayang ALLAH SWT adalah milik hamba hambaNYA.

Atas faktor kurangnya pengetahuan kakak berkaitan ISLAM, maka kakak tidak begitu ber'susah hati' berkaitan uniform jururawat semasa kakak mula mula memilih bidang ini terlebih dahulu. Akhirnya, apabila ALLAH menyentuh hati kakak, ketika itu kakak sudah berada di akhir kursus kejururawatan. Kakak betul betul keliru kerana kakak berasakan kakak sudah tidak boleh berpatah lagi dan kakak hampir melengkapkan pengajian kakak ketika itu. Ibubapa kakak juga sangat berharap agar kakak meneruskan jururawat sebagai kerjaya kakak. Sesungguhnya kakak tidak sampai hati untuk berhenti begitu sahaja kerana ibubapa kakak sudah bersusah payah agar kakak dapat melanjutkan pelajaran.

Alhamdulillah adikku, ketika itu kakak berpeluang merasai nikmat ditarbiyah biarpun hanya sekejap. Kakak berpeluang menyertai kumpulan usrah di mana kakak mempunyai seorang naqibah dan juga sahabat sahabat usrah terdiri daripada pelajar kejururawatan dan perubatan sendiri. Setelah taujihat dan kekuatan yang diberikan oleh naqibah dan rakan rakan usrah kakak, maka kakak beristikharah kepada ALLAH. Jika benar pekerjaan jururawat itu yang terbaik untuk akhirat, agama, tarbiyah dan perjuangan kakak, maka kakak minta kepada ALLAH agar mengekalkan kakak dalam bidang kejururawatan ini.

Walaubagaimanapun, terlalu banyak mehnah dan tribulasi bagi seorang pelajar jururawat muslimah. Adakalanya, kami tidak dibenarkan untuk memakai baju berlengan panjang atas alasan takut menyebarkan kuman kepada pesakit. Namun adikku, kakak ini seorang yang sangat keras. Atas semangat 'kamikaze' yang kakak miliki, kakak merupakan seorang pelajar yang paling degil, kakak sering sahaja curi curi mengenakan sarung lengan. Kakak selalu ditegur oleh pengajar ketika itu. Namun kakak tidak takut wahai adikku. Kakak yakin ALLAH bersama kakak dan keteguhan hati itu juga adalah hasil tarbiyah yang akak perolehi melalui usrah.

Malah, ujian yang paling getir sepanjang kakak bergelar pelajar kejururawatan adalah ketika kakak dan rakan rakan sepengajian dipanggil untuk sesi temuduga bekerja di luar negara. Kakak sungguh teruja untuk bekerja di negara orang atas alasan untuk menimba pengalaman. Tetapi yang menyedihkan adalah kami diminta untuk tidak bertudung jika ingin bekerja bersama mereka. Maka sudah tentu wahai adikku, kakak tidak akan memandang untuk bekerja bersama hospital itu lagi jika perlu menggadaikan prinsip agama yang kakak pegang.

Itu baru dugaan ketika bergelar seorang pelajar jururawat dan belum lagi ketika bergelar seorang jururawat sebenar. Cabaran lebih hebat menanti setelah melangkah ke alam pekerjaan. Sebenarnya ketika berada di luar kawasan kerja, kakak lebih suka mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bukan niat untuk riak atau menunjuk nunjuk adikku tetapi sesungguhnya kakak amat meyakini bahawa tudung labuh amat menjaga seorang wanita muslimah dan itulah izzah yang perlu kakak banggakan. Namun adikku, kakak mengalami kesukaran dan kadang kadang berasa sedikit terkilan kerana ada yang mempertikaikan kenapa kakak perlu bertudung labuh sedangkan kakak bekerja sebagai seorang jururawat. Hal ini menimbulkan tanda tanya pada fikiran kakak, adakah tudung labuh hanya untuk mereka yang bergelar ustazah dan lepasan agama sahaja? Adakah sebagai seorang jururawat tidak mempunyai hak untuk bertudung labuh? Selain itu, sedikit mengecewakan bahawa isu ini dibangkitkan juga oleh muslimah yang bertudung labuh dan juga insan yang ditarbiyah. Kakak tidak ingin menimbulkan mana mana isu sensitif namun cukuplah kita mengambil kisah ini sebagai pengajaran.

Alhamdulillah, kakak diterima bekerja di sebuah hospital swasta yang membenarkan untuk mengenakan lengan panjang. Namun hal yang menyedihkan adalah tudung masih perlu dimasukkan di dalam baju. Kakak sengaja mengubah suai uniform kakak agar lebih besar untuk mengelakkan terdedahnya bentuk badan. Pada awal permulaan kakak bekerja, kakak sering menjadi bahan ketawa kerana ada insan insan yang mengatakn uniform kakak yang terlebih besar sehingga menyebabkan kakak kelihatan seperti seorang badut. Pada mulanya, ada sedikit rasa terkilan di hati kakak, namun apabila mengingati semuanya kerana ALLAH, kakak kuatkan hati juga untuk terus bekerja. Malah untuk pengetahuan adik , kakak memakai tudung labuh ketika pergi bekerja dan mengeluarkan tudung kakak pada masa masa yang kakak rasakan bersesuaian. Sesungguhnya kekuatan itn datang dari ALLAH SWT.

Cabaran 2: Masa

Masa pekerjaan sebagai seorang jururawat sememangnya tidak menentu. Kadangkala perlu bekerja waktu pagi, petang atau malam. Tidak dinafikan pada mulanya kakak mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri. Namun ini bukan fokus utama yang perlu kakak 'highlight'kan di sini. Fokus utama adalah perlunya MUJAHADAH seorang jururawat untuk menjaga waktu solatnya. Apabila bekerja waktu pagi, sedikit kesukaran untuk menjaga waktu Zohor dan solat sunah dhuha, apabila bekerja waktu petang, ada dua waktu penting yang perlu dijaga iaitu waktu Asar dan juga Maghrib dan yang terakhir sekali apabila bekerja pada waktu malam, susahnya untuk menjaga solat isyak dan tahajud di sepertiga malam.

Sedikit menyedihkan apabila terdapat segelintir jururawat yang tidak cekap dalam menjaga waktu solat. Alasan utama adalah pakaian yang kotor kerana melakukan prosedur seperti membersihkan pesakit. Namun sesungguhnya ISLAM telah menggariskan panduan tertentu dari segi kesucian untuk menyempurnakan solat. Dan sekiranya benar benar ikhlas untuk mengerjakan solat, sudah pasti berusaha untuk menunaikannya kerana solat merupakan waktu pertemuan yang dinanti untuk bertemu ALLAH SWT.

Selain itu, keadaan ward yang terlalu sibuk juga menyebabkan jururawat tidak berpeluang untuk mengerjakan solat. Malah terdapat jururawat yang takut untuk meninggalkan pesakit yang berkeadaan kurang baik kerana khuatir keadaan pesakit boleh berubah bila bila masa dan ketika itu mereka sedang bersolat. Sesibuk mana pun kita, sesungguhnya Nabi Sulaiman A.s adalah manusia yang paling sibuk. Dia mentadbir alam ini secara keseluruhannya. Jin, angin dan haiwan juga tunduk kepada kekuasaanya. Tetapi Nabi Sulaiman A.s masih punya masa untuk menyembah ALLAH SWT, apatah lagi berbanding dengan kesibukan kita yang hanya sedikit ini. InsyaALLAH, berkaitan hukum bolehnya qada solat ketika bekerja akan kakak kupas pada entri yang lain pula.

Adikku,

Pekerjaan sebagai seorang jururawat juga menguji kesabaran kita apatahlagi jika kita terlibat dalam usrah dan program dakwah. Kadangkala, sebagai jururawat, perlu bekerja pada hujung minggu dan cuti sedangkan selalunya program usrah dan dakwah dijalankan pada hari hari tersebut. Syukur wahai adikku, ALLAH sekali lagi menolong kakak iaitu hospital kakak bekerja mudah untuk mendapatkan cuti atau menggantikan waktu bekerja kepada orang lain. Malah, sekiranya terdapat program hujung minggu, kakak selalu meminta untuk bekerja pada waktu malam agar pada waktu siangnya kakak dapat berprogram. Sungguh adikku, selepas kerja malam, mujahadah yang sangat tinggi diperlukan untuk melawan rasa keletihan dan mengantuk. Namun, sekali lagi apabila teringatkan ALLAH dan perjuangan RasulNYA, maka serta merta keletihan dan mengantuk itu hilang. Selagi kita bekerja untuk akhirat, kepenatan kita akan hilang dan kebaikan kita pasti akan kekal berbanding jika kita bekerja untuk dunia, bukan sahaja penat tetapi tidak ada balasannya di akhirat nanti.

Pernah seorang sahabat usrah berkali kali meminta kakak berhenti kerja kerana berasakan pekerjaan kakak tidak bagus dan tidak sesuai untuk gerak kerja dakwah. Malah, kakak pernah mengambil keputusan sehingga hampir menulis surat perletakan jawatan. Ya ALLAH, sesungguhnya ALLAH sayangkan kakak. Kakak tidak terburu buru untuk membuat keputusan melainkan beristikharah kepada ALLAH. ALLAH masih mengekalkan kakak dalam pekerjaan ini, dan kakak berjanji untuk terus melakukan yang terbaik kerana ALLAH. Biarpun kakak sibuk bekerja, kakak sentiasa mengambil berat soal usrah dan program dakwah seperti program ISLAM, ceramah dan sebagainya. Kakak yakin adikku, ini adalah sumber kekuatan kakak untuk terus kekal dalam hidayah dan taufiqNYA. Tanpa usrah dan tarbiyah, kakak bukanlah insan pemilik blog Layakkah Aku menjadi bidadari syurga ini dan mungkin kakak akan terus hanyut dalam penyakit cinta dunia.

Cabaran 3: Fitnah

Adikku,

Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa wanita itu merupakan fitnah terbesar dalam dunia. Ingin kakak ingatkan di sini bahawa pekerjaan jururawat juga bisa menjadikan seorang wanita itu sebagai fitnah dunia. Bukan niat kakak untuk menakutkan adikku tetapi kakak ingin adikku bersedia dengan benteng pertahanan iman. Apabila menjadi seorang jururawat, kita akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat. Tidak dinafikan, kadang kadang terdapat pesakit atau ahli keluarga pesakit atau rakan rakan sekerja dan sebagainya yang mudah tertarik dengan wanita yang bekerja sebagai jururawat. Wanita yang bekerja sebagai jururawat dilambangkan sebagai wanita yang mempunyai kelembutan. Tulisan ini bukan bertujuan untuk riak adikku tetapi ini adalah realiti yang bukan sahaja dihadapi oleh kakak tetapi juga rakan rakan kakak. Kadang kadang terdapat gangguan semasa bekerja seperti meminta nombor telefon, memohon untuk berkenalan, memberi hadiah perkenalan dan sebagainya. Nauzubillah min zalik, mohon perlindungan ALLAH agar kita jauh daripada fitnah.

Maka nasihat kakak buat semua, adalah lebih selamat jika seorang jururawat muslimah itu mengenakan cincin pada jari untuk keselamatan. Mungkin ada yang membantah cadangan kakak tetapi dari pengalaman kakak sendiri cara ini adalah lebih berkesan untuk mengelakkan kita daripada diganggu. Sebelum ini kakak lebih suka berhelah mengatakan bahawa kakak sudah berumah tangga namun kakak sangat takut helah ini menjadi dosa dosa yang menyebabkan hilangnya keberkatan dalam pekerjaan kakak. Jadi, kakak lebih selesa mengenakan cincin sebagai langkah keselamatan.

Tidak dinafikan bahawa terdapat golongan yang tidak bersetuju dengan cara kakak. Mereka berasakan bahawa dengan pekerjaan jururawat memudahkan urusan pencarian jodoh. Sesungguhnya kakak yakin bahawa setiap jodoh, ajal maut dan rezeki ditentukan ALLAH SWT. Prinsip yang kakak pegang adalah

Be a BEST MUSLIM, will BUILD BESTEST BAITUL MUSLIM

Kakak rasa tidak perlulah seorang jururawat muslimah itu terlalu berlembut dengan pesakit yang berlainan jantina. Biarlah dalam setiap kelembutan ada ketegasan. Ketegasan untuk menjadi peribadi kita sebagai wanita ISLAM, menjaga maruah kita sebagai wanita ISLAM sekaligus untuk membersihkan labelan kepada jururawat yang kononnya lebih kepada wanita penggoda. Kesolehan dan kesolehahan seorang lelaki dan wanita bergantung kepada kerjasama mereka berdua. Namun, jika lelaki mudah menggoda dan wanita mudah menerima, bagaimana gelaran soleh dan solehah itu bisa dirai?


Selain itu, terdapat isu yang ditimbulkan rakan usrah kakak sendiri yang juga bergelar seorang jururawat. Dia menyatakan kerisauannya bahawa tidak ada lelaki yang ditarbiyah (lelaki yang mengikuti usrah) untuk memilih wanita yang ditarbiyah (wanita yang mengikuti usrah) tetapi bekerja sebagai seorang jururawat untuk dijadikan isteri. Hal ini kerana faktor masalah uniform, masa kerja yang tidak tentu, labelan terhadap pekerjaan jururawat dan sebagainya. Namun bagi kakak, sekiranya ada lelaki yang menjadikan alasan pekerjaan jururawat untuk menolak wanita yang beragama, sesungguhnya lelaki tersebut berfikiran cetek. Bukankah Hasan Al Banna sendiri menyatakan bahawa 'kenyataan hari ini adalah mimpi kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika si suami hanya inginkan isteri di dunia, maka sudah tentu dia memilih yang paling sempurna, tetapi sebenarnya yang sangat sempurna itu juga merugikan kerana dia sudah tidak ada ruang untuk memberi ganjaran pahala pada dirinya untuk membentuk isterinya itu. Namun, jika dia inginkan isteri dunia dan bidadari akhirat, maka sudah tentu dia merebut pahala berharga untuk mentarbiyah diri dan juga isterinya sehingga isterinya itu menjadi bidadari yang paling indah di syurgaNYA nanti.

Adikku...

Rasanya cukup di sini sahaja perkongsian dari diri kakak yang kerdil ini. Semoga ALLAH memudahkan urusan adikku ini. InsyaALLAH, jika ada peluang, ALLAH pasti pertemukan kita.

Sebelum memulakan pengajian, sedikit pesanan kakak titipkan buat adikku tersayang;

1) Ikhlaskan niat kerana ALLAH
2) Beristikharah sebelum membuat keputusan
3) Ikutilah usrah dan mana mana program pembaikan diri demi ISLAM. Pilihlah usrah yang terbaik, yang meletakkan ISLAM tertinggi sekali dan lengkap, bukan separuh separuh. ISLAM dipratikkan dalam semua lapangan termasuk ekonomi, politik, kepimpinan dan sebagainya.
4) Bersabarlah dan berteguhlah atas setiap cabaran yang diberikan kerana seusngguhnya, ALLAH sedang menyayangi mu ^_^

Wasalam.....

Bismillahiramanirahim

~ Tulisan ini untuk kedua ibubapa ku.. kalianlah syurgaku
~ untuk insan insan yang mentarbiyahku
~ buat semua adik adik di bumi tarbiyah dalam bidang kejururawatan dan perubatan
~ buat semua jururawat jururawat muslimah serta bakal jururawat muslimah
~ buat bunga agama yang merindukan pembaikan diri
~ buat mujahid dan yusra yang menanti ku di syurga... semoga ALLAH menganugerahkan syahid untukku.... AMEEN ^_^



P/s: Akhi Roslani, minta izin kongsi artikel enta

Saturday, December 24, 2011

cinTa kEraNa SyaItaN?



Tersebutlah kisah, seorang “lelaki A” datang berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan  ini adalah yang paling ‘hot’ di kampusnya, kerana memiliki rupa paras yang cantik dan menawan. Sifat pada perempuan ni yang paling orang suka adalah kerana dia ni seksi dan berada. Tapi sayang, dia bukan muslim.
Nak dipendekkan cerita, kita lihat dialog yang berlaku antara lelaki A dan perempuan tersebut. Tapi sebelum tu, biar aku bagi tau korang ciri-ciri lelaki A tu. Lelaki A merupakan anak seorang Dato’ yang sememangnya kaya, kacak dan bergaya. Nak pergi kampus pon pakai kereta mewah, kemudian ada driver pula. Awek mana tengok mesti melopong biji mata.


Alice: Apasal awak datang nak jumpa saya?
Lelaki A: Saya dah jatuh cinta kat awak.
Alice: (memandang lelaki itu dengan sinis) sebab?
Lelaki A: Kerana awak cantik. Sesiapa yang memandang awak sekilas pasti tak puas. Sudikah awak jadi gf saya?
Alice: Tapi..
Lelaki A: Jangan risau Alice. Saya ada segala-galanya. Harta..kebahagiaan..dan apa je awak mintak, saya boleh bagi.
Alice: Maafkan saya, saya ada kuliah. (perempuan itu sengaja membuat dalih)
Seminggu kemudian, perempuan ‘hot’ ni didatangi seorang lelaki lagi, kita namakan lelaki ni “lelaki B”. Penampilan lelaki B ni agak islamik. Pakai baju Melayu siap bersongkok pula tu. Tapi, hati dia hanya tuhan sahaja yang tahu. Apa-apa pun, kenalah bersangka baik.


Alice: Ha, ada apa erk?
Lelaki B: Assalamualaikum. (ucap lelaki tu lembut)
Alice: (agak terkedu seketika) Waalaikumsalam. Kenapa awak datang nak jumpa saya?
Lelaki B: Saya…saya…
Alice: Kenapa? cakaplah..
Lelaki B: Saya jatuh cinta kat awak..
Alice: sebab?
Lelaki B: Perlukah bersebab?
Alice: Ya. Sebab saya tak pernah kenal awak, tau2 awak dah jatuh cinta..
Lelaki B: Baiklah, saya cintakan awak kerana Allah telah ciptakan perasaan cinta dalam hati saya untuk awak.
Alice: Owh. (Perempuan itu melihat jam tangannya) Maaflah, saya ada study group. Lain kali kita borak lagi.
Maka tertinggallah lelaki B keseorangan tanpa sebarang jawapan dari sang gadis itu.
Seminggu yang seterusnya, perempuan itu didatangi oleh seorang lagi lelaki iaitu “lelaki C”. Kali ini, lelaki C berpenampilan biasa dan sederhana saja. Wajahnya juga tidaklah sekacak mana namun ada sesuatu pada wajah itu. Entahlah apa. Perempuan itu mengukir senyuman manis untuk lelaki itu kerana dia pasti bahawa lelaki ini pasti akan bercakap benda yang sama.



Alice: Saya tau kenapa awak datang nak jumpa saya..
Lelaki C: (Termangu seketika) Awak dah tau?
Alice: Why not? Awak cintakan saya?
Lelaki C: Ya, saya menyintai awak.
Alice: (tersenyum sinis) Well, kenapa pulak? Sebab Allah telah menghadirkan perasaan cinta kat dalam hati awak untuk saya?
Lelaki C: (hanya mampu tunduk)
Alice: Kenapa diam? atau..awak jatuh cinta di sebabkan rupa saya..atau saya ni seksi..atau..saya ni anak orang berada..
Lelaki C: Demi Allah, semua itu tak betul.(Lelaki C berubah menjadi tegas). Ya, memang benar saya jatuh cinta kat awak tetapi bukan kerana Allah atau kerana kecantikan awak, harta awak.. saya jatuh cinta disebabkan Syaitan Durjana. Syaitan yang mendorong saya untuk mengejar awak. Kemana saja awak jalan, mata saya akan mengekori awak. Tatkala rambut ikal awak terbang ditiup angin, saya rasa perasaan saya kacau.Wajah cantik awak sentiasa datang bermain di jiwa saya pada hal saya tak menginginkannya. Saya rasa rimas dengan perasaan saya. Saya semakin hanyut. Semakin terleka.
Alice: (terkedu) Apa awak nak?
Lelaki C: Saya tak mahukan apa-apa. Mungkin hanya sekelumit simpati. Hanya kalau awak sudi. Maafkan saya, saya mohon untuk berlalu.
Alice: Nanti dulu, siapa nama awak? Macam mana saya nak tolong awak?
Lelaki C: Nama saya, ah, tak layak saya nak beritahunya kat awak. Sesungguhnya nama yang saya pinjam ini sungguh mulia. Saya pasti awak tau apa nak dibuat. Maafkan saya, saya tak sanggup nak berlama-lama di sini. Syaitan itu sentiasa membisikkan perkara yang jahat ke telinga manusia. Salamu’alaikum.
Alice hanya melihat langkah lelaki itu tanpa sepatah kata.
Dua tahun kemudian…
Akif merehatkan dirinya di pelantar rumah sambil menghirup udara segar pagi. Tiba-tiba dia disapa oleh ibunya.


Ibu: Akif, ibu teringin nak tengok Akif berumah tangga. Akif tak de ke pilihan hati Akif sendiri?
Akif: Entahlah ibu. Susah kita nak mencari pasangan yang betul2 berdiri di atas landasan yang teguh.
Ibu: Akif, ibu faham. Memang susah nak cari orang yang seperti itu, kalau ada pun, nisbahnya kecil. Manusia makin hanyut ditelan arus dunia. Semakin moden, semakin lupa tanggungjawab kita sebagai muslim. Tapi Akif, kita juga boleh menjadi pengubah.
Akif: Ibu.. Akif faham. Insya Allah ibu, Akif akan cari seorang perempuan..jika dia tak seperti yang Akif harapkan, Akif yang akan membentuk dia, mengubah dia. Akif akan cuba laksanakan permintaan ibu.
Ibu: (tersenyum) Akif, ibu rasa, ibu sudah berkenan dengan seorang gadis ini. Dia baik dan manis juga orangnya. Pekerjaannya juga mulia. dia bekerja sebagai seorang guru di sekolah menengah agama. Ibu dah berbual-bual dengan ibu bapanya. Baik sungguh mereka itu.
Akif: Siapa dia ibu? siapa nama dia?
Ibu: Nur Alissa Zakiyyah…
Seminggu sebelum hari pertunangan.
Waktu itu, Akif berada di rumah Nur Alissa Zakiyyah. Baru kali pertama Akif ke sana. Rumah yang dijejakinya ini sungguh besar dan luas. Halamannya juga menarik bersama landskap yang begitu teratur. Bunga-bungaannya memukau mata. Suasana agak hingar-bingar. Ibu Akif berada di dalam rumah mungkin sedang sibuk membantu mereka yang lain menyiapkan juadah makan tengah hari bersama.
Akif berjalan menuju ke suatu sudut di halaman itu namun langkahnya terhenti apabila terlihat seorang gadis bertudung hijau lembut sambil mengenakan pakaian baju kurung..entahlah baju kurung jenis apa yang penting ianya gubahan moden seiring mengikut zaman. Gadis itu seperti pernah dilihatnya di dalam sekeping gambar. Gambar yang diberi ibunya. Mungkinkah itu bakal tunangnya?
Akif memberanikan diri untuk menyapa gadis itu.


Akif: Assalamu’alaikum.
Alissa: Wa’alaikumsalam. (Alissa tersenyum lantas membelakangi Akif)
Akif: Awakkah Nur Alissa Zakiyyah??
Alissa: Dan awak pula Akif Rahmankan?(soal Alissa tanpa menjawab pertanyaan Akif terlebih dahulu)
Akif: ya. Akif Rahman Bin Razaq. Awak belum jawab soalan saya..
Alissa: Hum.. akhirnya…
Akif: (Akif hairan) Kenapa? Pernahkah kita bertemu atau berkenal?
Alissa: Ya.
Akif: Siapakah awak? (tanya Akif penuh kehairanan)
Alissa: Nama saya Nur Alissa Zakiyyah binti Aziz. Sayalah Alice.
Akif: (terkesima) Subhanallah. Awak dah berubah, saya langsung tak cam awak. Macam mana awak boleh jadi macam ni?
Alissa: Bukankah awak yang meminta sekelumit simpati dari saya?
Akif: Alice…(terharu..)
Alissa: Akif, saya dah jatuh cinta kat awak. Dah lama..
Akif: Sebab?
Alissa: Saya mencintai awak kerana agama yang ada pada awak…
akif hanya tersenyum.. :)
——–THE END——–

Friday, December 16, 2011

"KERANA DIA MANUSIA BIASA."


Cerita ini dipetik daripada email seorang sahabat, dan saya forwardkan untuk manfaat kepada diri saya dan semua.
Semoga bermanfaat baik untuk yang melamar ataupun yang dilamar, ataupun bagi yang sudah berumah tangga. Renungan buat yang sedang mencari pasangan hidup ataupun yang sedang mengemudi bahtera rumah tangga. Mengapa? Kerana Dia Manusia Biasa.


"cinta yang indah adalah melalui pernikahan"

Setiap kali ada sahabat yang ingin menikah, saya selalu mengajukan pertanyaan yang sama. Kenapa kamu memilih dia sebagai suami/isterimu? Jawappannya ada bermacam-macam. Bermula dengan jawapan kerana Allah hinggalah jawapan duniawi. Tapi ada satu jawapan yang sangat menyentuh di hati saya. Hingga saat ini saya masih ingat setiap butir percakapannya. Jawapan dari salah seorang teman yang baru saja menikah. Proses menuju pernikahannya sungguh ajaib. Mereka hanya berkenalan 2 bulan. Kemudian membuat keputusan menikah. Persiapan pernikahan mereka hanya dilakukan dalam waktu sebulan saja. Kalau dia seorang akhwat, saya tidak hairan. Proses pernikahan seperti ini selalu dilakukan. Dia bukanlah akhwat, sebagaimana saya. Satu hal yang pasti,dia jenis wanita yang sangat berhati-hati dalam memilih suami. Trauma dikhianati lelaki membuat dirinya sukar untuk membuka hati. Ketika dia memberitahu akan menikah, saya tidak menganggapnya serius. Mereka berdua baru kenal sebulan. Tapi saya berdoa, semoga ucapannya menjadi kenyataan. Saya tidak ingin melihatnya menangis lagi. Sebulan kemudian dia menemui saya. Dia menyebutkan tarikh pernikahannya. Serta meminta saya untuk memohon cuti, agar dapat menemaninya semasa majlis pernikahan. Begitu banyak pertanyaan dikepala saya.


Saya ingin tahu! Mengapa dia begitu mudah menerima lelaki itu. Ada apakah gerangan? Tentu suatu hal yang istimewa. Hingga dia boleh memutuskan untuk bernikah secepat ini. Tapi sayang, saya sedang sibuk ketika itu(benar-benar sibuk). Saya tidak dapat membantunya mempersiapkan keperluan pernikahan. Beberapa kali dia menelefon saya untuk meminta pendapat tentang beberapa perkara. Beberapa kali saya telefon dia untuk menanyakan perkembangan persiapan pernikahannya. Kami tenggelam dalam kesibukan masing-masing. Saya mengambil cuti 2 hari sebelum pernikahannya. Selama cuti itu saya memutuskan untuk menginap di rumahnya. Pukul 11 malam sehari sebelum pernikahannya, baru kami dapat berbual -hanya-berdua. Hiruk-pikuk persiapan akad nikah esok pagi, sungguh membelenggu kami. Pada awalnya kami ingin berbual tentang banyak hal. Akhirnya, dapat juga kami berbual berdua. Ada banyak hal yang ingin saya tanyakan. Dia juga ingin bercerita banyak perkara kepada saya. Beberapa kali Mamanya mengetuk pintu, meminta kami tidur.

"Aku tak boleh tidur." Dia memandang saya dengan wajah bersahaja.

Saya faham keadaanya ketika ini.

"Matikan saja lampunya, biar disangka kita dah tidur."

" Dia mematikan lampu neon bilik dan menggantinya dengan lampu yang samar.

Kami meneruskan perbualan secara berbisik-bisik. Suatu hal yang sudah lama sekali tidak kami lakukan. Kami berbual banyak perkara, tentang masa lalu dan impian-impian kami. Wajah keriangannya nampak jelas dalam kesamaran. Memunculkan aura cinta yang menerangi bilik ketika itu. Hingga akhirnya terlontar juga sebuah pertanyaan yang selama ini saya pendamkan. "Kenapa kamu memilih dia?" Dia tersenyum simpul lalu bangkit dari baringnya sambil meraih telefon bimbitnya dibawah bantalku. Perlahan dia membuka laci meja hiasnya. Dengan bantuan lampu LCD handphone dia mengais lembaran kertas didalamnya. Perlahan dia menutup laci kembali lalu menyerahkan sekeping sampul kepada saya. Saya menerima handphone dari tangannya. Sampul putih panjang dengan cop surat syarikat tempat calon suaminya bekerja. Apa ini?. Saya melihatnya tanpa mengerti.

Eeh..., dia malah ketawa geli hati.

"Buka aja." 

Sebuah kertas saya tarik keluar. Kertas putih bersaiz A4, saya melihat warnanya.. putih? "Teruknya dia ni."

Saya menggeleng-gelengkan kepala sambil menahan senyum.

Sementara dia cuma ketawa melihat ekspresi saya. Saya mula membacanya. Saya membaca satu kalimat diatas, dibarisan paling atas. Dan sampai saat inipun saya masih hafal dengan kata-katanya. Begini isi surat itu........


************ ********* *******

Kepada ...... 
Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya Assalamu'alaikum Wr Wb. Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai. Saya, yang bernama_____menginginkan anda______ untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak. Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan. Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan.Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa. Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik. Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih anda. Saya sudah sholat istikharah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih anda. Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini. Saya memohon anda sholat istiqarah dulu sebelum memberi jawapan pada saya. Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin Wassalamu'alaikum Wr Wb

************ ********* *********

Saya memandang surat itu lama. Berkali-kali saya membacanya. Baru kali ini saya membaca surat 'lamaran' yang begitu indah. Sederhana, jujur dan realistik. Tanpa janji-janji yang melambung dan kata yang berbunga-bunga. Surat cinta biasa. Saya menatap sahabat disamping saya. Dia menatap saya dengan senyum tertahan.


"Kenapa kamu memilih dia.....?


"Kerana dia manusia biasa......." Dia menjawab mantap.


"Dia sedar bahawa dia manusia biasa. Dia masih punya Allah yang mengatur hidupnya. Yang aku tahu dia akan selalu berusaha tapi dia tidak menjanjikan apa-apa. Soalnya dia tidak tahu, apa yang akan terjadi pada kami kemudian hari. Entah kenapa, justeru itu memberikan kesenangan tersendiri buat aku.."

"Maksudnya?"


"Dunia ini fana. Apa yang kita punya hari ini belum tentu esok masih ada dan menjadi milik kita. Betul tak? Paling tidak.... Aku tau bahawa dia tidak akan frust kalau suatu masa nanti kami jadi miskin. "

Ssttt....."Saya menutup mulutnya.


Khuatir kalu ada yang tau kami belum tidur. Terdiam kami memasang telinga. Sunyi. Suara jengkering terdengar nyaring diluar tembok. Kami saling berpandangan lalu gelak sambil menutup mulut masing-masing.

"Udah tidur. Esok kamu mengantuk, aku pula yang dimarahi Mama."


Kami kembali berbaring. Tapi mata ini tidak boleh pejam. Percakapan kami tadi masih terngiang terus ditelinga saya.

"Gik.....?" "Tidur.....Dah malam." Saya menjawab tanpa menoleh padanya.


Saya ingin dia tidur, agar dia kelihatan cantik jelita esok pagi. Rasa mengantuk saya telah hilang, rasanya tidak akan tidur semalaman ini. Satu lagi pelajaran dari pernikahan saya peroleh hari itu. Ketika manusia sedar dengan kemanusiaannya.

Sedar bahawa ada hal lain yang mengatur segala kehidupannya. Begitu juga dengan sebuah pernikahan. Suratan jodoh sudah terpahat sejak roh ditiupkan dalam rahim. Tidak ada seorang pun yang tahu bagaimana dan berapa lama pernikahannya kelak. Pernikahan hanya dilandasi kerana Allah semata. Diniatkan untuk ibadah. Menyerahkan segalanya pada Allah yang membuat senarionya. Maka semua menjadi indah. Hanya Allah yang mampu menggerakkan hati setiap hamba-NYA. Hanya Allah yang mampu memudahkan segala urusan. Hanya Allah yang mampu menyegerakan sebuah pernikahan. Kita hanya boleh memohon keredhaan Allah. MemintaNYA mengurniakan barakah dalam sebuah pernikahan. Hanya Allah jua yang akan menjaga ketenangan dan kemantapan untuk menikah.

Jadi, bagaimana dengan cinta? Ibu saya pernah berkata, Cinta itu proses. Proses dari ada, menjadi hadir,lalu tumbuh, kemudian merawatnya. Agar cinta itu dapat bersemi dengan indah menaungi dua insan dalam pernikahan yang suci. Cinta tumbuh kerana suami/isteri (belahan jiwa). Cinta paling halal dan suci. Cinta dua manusia biasa, yang berusaha menggabungkannya agar menjadi cinta yang luar biasa. Amin. 

Wallahu 'alam.